Artikel daripada Harian Metro Online
Beri peluang nikmati makanan enak
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
yusliza@hmetro.com.my
Pemakanan yang seimbang amat penting untuk menjamin tumbesaran kanak-kanak.
Bagaimanapun, segelintir daripada mereka tidak dapat menikmati kesemua makanan kerana terdedah dengan alahan atau alergi yang menyebabkan kesan sampingan berbeza.
Contohnya, kita digalakkan memakan pelbagai jenis kekacang kerana ia mengandungi banyak khasiat dan nutrisi penting untuk badan, tapi ada sesetengah tidak dapat mengambilnya kerana alahan.
Bagi kanak-kanak, mungkin masalah alahan atau alergi ini akan menyukarkan mereka menikmati makanan yang diingini seperti kek misalnya, mungkin ada yang alah kepada gluten yang terkandung dalam tepung dan ini menyebabkan mereka tidak berpeluang merasai kek yang menyelerakan.
Bagaimanapun, jika kena caranya banyak resipi makanan yang boleh diolah mengikut kreativiti oleh ibu bapa untuk anak yang mengalami masalah alergi terhadap sesuatu bahan makanan sekali gus memberi peluang anak mereka menikmati makanan enak tanpa merasa terpinggir atau berbeza dengan orang lain.
Perkara itu diakui penulis buku Resipi Alergi, Nazihah Nasir yang mempunyai anak yang berdepan masalah alergi terhadap telur sekali gus menjadikannya lebih kreatif untuk mencipta dan mengolah masakan untuk dinikmati anaknya.
“Sebagai ibu kepada anak yang mengalami ekzema, saya faham keadaan apabila kita perlu memasak dengan bahan yang terhad. Memasak menggunakan tepung tanpa gluten, tanpa bahan tenusu dan penggunaan telur yang dibolehkan sama sekali, semua itu memberi tekanan kepada saya."
“Saya juga mengalami pengalaman yang mana kek menjadi seperti ‘batu’. Berkali-kali saya mencuba sampai satu tahap saya rasa inilah waktu bagi saya berhenti mencuba.
“Bagaimanapun apabila mengenangkan anak saya yang begitu teringin makan sama seperti orang lain, saya perlu berusaha supaya dia dapat makan semua yang dikehendaki tanpa perlu risau dia akan mengalami alahan.
Namun katanya, ada sesuatu yang dia perlu ingatkan iaitu hasil akhir bagi masakan tanpa gluten tanpa bahan tenusu dan tanpa telur akan memberikan tekstur dan rupa yang berbeza daripada masakan biasa.
Katanya, apabila kita memasak tanpa bahan berkenaan, agak sukar mendapatkan konsistensi yang diingini. Contohnya kek, kadang-kadang kek akan menjadi berat dan mampat tapi itulah indahnya seni memasak apabila mana setiap masakan itu perlu ada eksprimen.
Baginya, jangan takut mencuba sesuatu resipi dan olah mengikut kreativiti. Mungkin pada permulaan tidak menjadi, tapi lama-kelamaan kita akan dapat memahami dan mengenali sifat setiap bahan yang digunakan.
Sebagai contoh, apabila membuat kek tanpa gluten, tanpa tenusu dan telur, tekstur akan lebih kering berbanding kek biasa. Apa yang boleh dibuat, tambahkan puri buah bagi mendapatkan kelembapan. Bahan gantian ini tidak semestinya digunakan dalam resipi.
Ada resipi yang tidak perlu gunakan bahan gantian ini pun sudah naik dan rasa yang sedap. Sebab itu penting bagi anda bereksperimen dengan resipi anda sendiri. Sebab setiap orang mempunyai sentuhan yang berbeza dan sebab itulah setiap orang adalah unik.
“Saya kongsikan tip daripada pengalaman sendiri cara menggantikan gluten, tenusu dan telur dalam masakan. Ibu bapa perlu kreatif dalam resipi sendiri dan jangan pernah putus asa dalam menyediakan makanan yang anak-anak sukai,” katanya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini berkata, selama lima tahun dia cuba menghasilkan makanan yang anak sulungnya, Dawish Yusrizam, 6, gemari tanpa bahan yang tidak boleh dimakan seperti telur dan berkali-kali menemui kegagalan hingga akhirnya berjaya menghasilkan kek yang rasa dan teksturnya sama seperti kek biasa.
Nazihah berkata, dia tidak mahu anaknya rasa berbeza dengan rakannya yang lain. Berkat kesabaran dan kesungguhan, usahanya itu kini semakin mendapat perhatian ibu bapa yang mempunyai masalah sama untuk terbabit dalam aktiviti dianjurkan Nazihah seperti kelas memasak untuk kanak-kanak alergi.
“Ramai ibu bapa yang beranggapan anak mereka yang bermasalah seumpama ini tidak dapat melakukan aktiviti sama seperti kanak-kanak normal kerana bimbang kesan yang mungkin berlaku jika tersalah makan.
“Justeru, saya anjurkan kelas memasak khas untuk anak-anak bermasalah alergi dengan menggunakan bahan selamat untuk mereka. Kanak-kanak ini biasanya tertekan kerana banyak yang mereka tidak dapat lakukan atau makan.
“Jadi, kita mahu mereka rasa seronok dengan persekitaran yang selamat untuk mereka lakukan aktiviti. Biasanya kita adakan kelas memasak biskut yang amat mudah dengan tiga bahan asas saja tapi itu sudah cukup menggembirakan mereka,” katanya.
Bagi meningkatkan semangat dan saling berkongsi masalah berkaitan anak-anak yang alergi, atas inisiatif Nazihah dan beberapa rakan mewujudkan kumpulan sokongan ibu bapa terbabit melalui Facebook dan Whatsapp.
Melalui pengalaman ibu bapa yang mempunyai anak yang bermasalah seperti itu pastinya amat membantu ibu bapa lain berdepan cabaran sekali gus memudahkan mereka menguruskan anak alergi.
“Di negara kita masih kurang kesedaran terhadap sokongan ibu bapa dan masyarakat buat anak-anak yang bermasalah alergi, jadi saya rasa satu kerugian jika tidak memulakan inisiatif seperti ini.
“Antara lain saya juga membuat butang lencana untuk anak saya pakai di tadika supaya guru atau masyarakat sekeliling tahu apa yang anak saya tidak boleh makan. Jadi, lebih mudah mereka berwaspada,” katanya.
Nazihah turut berkongsi cara membuat tepung tanpa gluten dalam bukunya. Ada banyak resipi campuran tepung tanpa gluten yang boleh digunakan.
Namun katanya, dia banyak menggunakan resipi ini kerana bahan yang mudah didapati. Resipi ini paling asas bagi menggantikan tepung gandum dalam makanan seharian.Tepung tanpa gluten boleh dibuat dengan mencampurkan satu cawan tepung beras, dua pertiga tepung kanji kentang, satu pertiga tepung kanji ubi kayu dan jika ada boleh mencampurkan dua sudu makan arrowroot. Semua bahan digaul dalam mangkuk besar dan campuran akan menghasilkan kira-kira dua cawan tepung.
Artikel ini disiarkan pada :
Rabu, 6 January 2016 @ 5:01 AM
Rabu, 6 January 2016 @ 5:01 AM
=============================
Buku RESIPI ALERGI boleh didapati dengan klik di SINI .
Harga sebuah RM35 termasuk pos.
Like page Hif Bookstore .
No comments:
Post a Comment