Teks & Foto: Kak Hif
Mencari ketenangan di celah kegelisahan. Kak Hif yakin banyak dalam kalangan kita yang sangat perlukan ini.
Rutin harian yang sibuk, tuntutan keluarga dan kerja -- jika tidak diurus dengan bijak dan berhemah akan mempengaruhi kesihatan kita secara tak langsung.
Kak Hif ambil masa agak lama untuk selesai baca naskhah ini sebab tebal bukunya, hampir 450 muka surat. Tapi alhamdulillah, habis juga.
Tip nak konsisten baca sampai habis: baca 1-2 muka surat setiap hari, selepas solat Subuh atau sebelum mula kerja.
Antara kata-kata hikmah yang Kak Hif petik dalam buku ini, mudah-mudahan dapat menenangkan kekacauan jiwa, meredakan gelisah dan gundah-gulana, sekaligus memberi semangat baharu menghadapi sebarang ujian yang datang.
Kata-kata hikmah dalam buku ini:
1. Kebenaran akan tetap menjadi kebenaran meskipun disampaikan oleh orang yang menentang kebenaran. (Ms 24)
2. Perubahan bermula dari dalam diri sendiri! (Ms 34)
3. Tidak ada tempat di dunia ini bagi para pemalas. Orang yang hanya duduk berdiam diri mustahil akan diberi kekuatan untuk melangkah, apatah lagi untuk berlari. (Ms 34)
4. "Sungguh Allah membentangkan tangan-Nya pada malam hari agar pelaku keburukan pada siang hari dapat memohon ampunan kepada-Nya, dan membentangkan tangan-Nya pada siang hari agar pelaku keburukan pada malam hari dapat memanjatkan taubat kepada-Nya. - Riwayat Muslim. (Ms 35)
5. Setiap saat kita mesti menilai dan memperhitungkan kembali segala aktiviti dan pekerjaan yang rutin kita lakukan agar ketenangan dan kebersihan jiwa kita tetap terjaga. (Ms 39)
6. Allah tetap akan memberikan ampunan-Nya apabila kita mendatangi-Nya dengan tulus dan lurus. (Ms 41)
7. Agama serupa makanan bagi tubuh yang berfungsi menjaga kelangsungan hidup dan keberadaannya. (Ms 43)
8. "Allah lebih gembira atas taubat hamba-Nya melebihi kegembiraan orang itu yang mendapati kembali haiwan tunggangannya." - Riwayat Muslim. (Ms 44)
9. Taubat yang membuat Allah gembira adalah kemenangan manusia melawan pelbagai sebab ketidakberdayaan dan kelemahan. Taubat ialah kejayaan memusnahkan virus kehinaan dan kemaksiatan, serta kebebasan dari belenggu nafsu. Taubat ialah keteguhan manusia menapaki jalan keimanan dan kebaikan. Taubat ialah kedewasaan dan kematangan mengikuti jalan petunjuk. (Ms 45)
10. Taubat ialah kehidupan baru setelah jatuh terhina, peralihan yang akan mengubah bahagian-bahagian jiwa menjadi lebih baik. (Ms 46)
11. Orang yang mendapat petunjuk dan kemudian mengikutinya bererti telah mencapai fasa terakhir taubat yang sebenarnya. (Ms 47)
12. Taubat menuntut seseorang memperbaharui dirinya, menyusun kembali jalan hidupnya, memulai hubungan baru dengan Tuhannya dengan amal kebaikan dan doa ini (penghulu istighfar):
"Ya Allah, Engkau Tuhanku. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau menciptakanku dan aku hamba-Mu. Aku terikat oleh janji dan sumpahku kepada-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang telah kuperbuat. Aku mengakui seluruh nikmat-Mu kepadaku dan mengakui seluruh dosaku kepada-Mu. Ampunilah aku, kerana tiada yang mampu memberi ampunan selain Engkau." - Riwayat al-Bukhari (Ms 48)
Judul: Hiduplah untuk Hari Ini (Pautan Shopee: KLIK SINI)
Penulis: Muhammad Al-Ghazali
Prakata: YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri (bekas Menteri Agama dan Mufti Wilayah)
Penerbit: Iman Publication
Pencetak: Mihas Grafik Sdn. Bhd.
Genre: Tarbiah, Motivasi
Jumlah muka surat: 453
No comments:
Post a Comment